PERMOHONAN SPRN TEDUH

Mulai 2020, setiap permohonan rumah mampu milik seperti PPR, MyHome dan rumah transit hendaklah dibuat melalui SPRN iaitu Sistem Pengurusan Perumahan Negara. Di sini kami akan kongsikan cara membuat permohonan SPRN Teduh.

LATAR BELAKANG TEDUH


PENGENALAN

Jabatan Perumahan Negara (JPN) merupakan Jabatan pelaksana bagi agenda perumahan negara di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

JPN berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan dan kawal selia hartanah dan juga menjadi agen bagi memperkasa industri hartanah yang berteraskan persekitaran (environmental), sosial (social) dan tadbir urus (governance) [ESG].

Fungsi JPN juga adalah termasuk :

  • Membantu rakyat untuk memiliki rumah melalui skim-skim bantuan perumahan yang ditawarkan dibawah JPN;
  • Memantau secara efektif dan efisyen terhadap projek pembangunan pemajuan berlesen;
  • Memberi kesedaran kepada pembeli berkaitan tanggungjawab pemaju dan hak pembeli rumah melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118]; dan
  • Memastikan keseragaman undang-undang berkenaan pengurusan dan penyenggaraan bangunan dan harta Bersama melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Produk-produk yang ditawarkan oleh JPN adalah :

  • Program Perumahan Rakyat (PPR);
  • Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM); dan
  • Program Penyenggaraan Perumahan (PPP)


LATAR BELAKANG SISTEM BANK DATA PERUMAHAN NEGARA (TEDUH)

Sistem Bank Data Perumahan Negara (TEDUH) adalah portal yang memaparkan maklumat dan fungsi carian berkaitan projek-projek dan program-program perumahan awam dan swasta di Malaysia. Sistem Pengurusan Perumahan Negara atau SPRN merupakan salah satu komponen dalam TEDUH yang berfungsi sebagai gerbang ‘one-stop centre’ bagi individu yang ingin memohon program atau skim perumahan.

TEDUH juga merupakan inisiatif kerajaan melalui Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dalam usaha menyediakan saluran rasmi yang inklusif bagi maklumat perumahan awam dan swasta kepada rakyat, agensi kerajaan, badan berkanun, agensi pembiayaan perumahan dan pemaju swasta.

APA ITU TEDUH

TEDUH adalah portal yang memaparkan maklumat dan fungsi carian berkaitan projek-projek dan program-program perumahan awam dan swasta di Malaysia.

Sistem Pengurusan Perumahan Negara atau SPRN merupakan salah satu modul dalam TEDUH yang berfungsi sebagai gerbang ‘one-stop centre’ bagi individu yang ingin memohon program perumahan

SKIM BANTUAN SPRN TEDUH

Antara skim bantuan yang boleh anda boleh di bawah SPRN termasuklah:

  • Skim MyHome
  • Skim Rumah PPR
  • Skim Rumah Transit
  • Skim SPP

PERMOHONAN SPRN TEDUH-SYARAT KELAYAKAN

Syarat kelayakan berbeza bergantung kepada skim yang anda ingin mohon.

1.SkimMyHome

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 21 tahun ke atas
  • Pembelian rumah pertama bagi satu isi rumah. Isi rumah merujuk kepada pasangan suami dan isteri atau bujang sahaja. Pasangan sama ada suami atau isteri yang telah memiliki rumah bagi satu isi rumah adalah TIDAK LAYAK
  • Pendapatan isi rumah RM10,000 ke bawah
  • Ia juga menyediakan insentif sehingga RM30,000 seunit yang memberi faedah kepada pembeli-pembeli rumah dan pemaju-pemaju swasta.
  • Antara dokumen sokongan untuk memohon MyHome ialah:
    • Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
    • Salinan surat nikah/sijil nikah (Jika berkenaan)
    • Salinan kad OKU/surat pengesahan OKU (Jika berkenaan)
    • Salinan surat akuan sumpah bekerja sendiri
    • Salinan surat pengesahan majikan
    • Salinan penyata gaji terbaru
    • Salinan penyata KWSP atau penyata cukai pendapatan
    • Salinan surat pencen (Jika berkenaan)
    • Salinan kad pengenalan/MyKid/sijil kelahiran
    • Salinan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pemohon dan pasangan

2.Skim Rumah PPR(Dimiliki & Disewa)

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan
  • Pemohon belum memiliki rumah
  • Mengikut syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri
  • Kerajaan turut melaksanakan PPR Dimiliki yang bertujuan untuk membolehkan golongan yang berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki rumah sendiri.
  • Rumah-rumah PPR Dimiliki dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak.
  • Antara ciri-ciri rumah PPR dimiliki ialah:
    • Kawasan bandar-bandar besar: Jenis rumah bertingkat antara 5 hingga 18 tingkat
    • Kawasan pinggir bandar: Jenis rumah teres
    • Keluasan: Tidak kurang daripada 700 kaki persegi
    • Binaan – 3 Bilik Tidur, 1 Ruang Tamu, 1 Ruang Dapur, 2 Bilik Air
    • Terdapat pelbagai kemudahan asas seperti dewan komuniti, surau, gerai makan, tadika, dan lain-lain.
  • Program PPR Disewa telah diperkenalkan pada Februari 2002 bertujuan untuk disewakan kepada golongan sasaran (golongan yang berpendapatan rendah dan setinggan) pada kadar RM124.00 sebulan.

3.Skim Rumah Transit (SPRN)

  • Pemohon dan pasangan adalah warganegara Malaysia
  • Pemohon telah berkahwin
  • Pemohon berumur antara 18 hingga 30 tahun
  • Pemohon tidak mempunyai rumah sendiri di kawasan / negeri rumah transit dipohon
  • Pemohon bekerja di kawasan / negeri rumah transit dipohon
  • Pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah
  • Tiada rekod jenayah
  • Program Rumah Transit bertujuan untuk memberi kemudahan perumahan secara sementara kepada pasangan muda yang telah berkahwin dan berumur antara 18 hingga 30 tahun.
  • Program ini bertumpu di bandar-bandar besar untuk mengurangkan beban pasangan muda yang berpendapatan rendah / berkelayakan.
  • Rumah ini disewakan dengan kadar sebanyak RM250.00 sebulan bagi tempoh sewaan permulaan selama dua (2) tahun.
  • Penyewa akan diberikan notis enam (6) bulan sebelum tamat tempoh kontrak bagi tujuan pengosongan rumah.

4.Skim SPP

  • Pemohon dan pasangan adalah warganegara Malaysia
  • Berumur 21 hingga 70 tahun
  • Bekerja dan mempunyai pendapatan
  • Bukan kakitangan Kerajaan atau pesara (termasuk pasangan)
  • Pemohon dan pasangan belum mempunyai rumah
  • Jumlah pendapatan kasar isi rumah di antara RM1,000.00 hingga RM3,000.00 sebulan
  • Memiliki tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga terdekat
  • SPP diwujudkan bertujuan menyediakan kemudahan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah sendiri

CARA DAFTAR SPRN TEDUH

  1. Pendaftaran SPRN boleh dibuat melalui pautan https://sprn.kpkt.gov.my/
  2. Klik “Daftar Akaun”
  3. Kemudian masukkan nama, nombor kad pengenalan dan alamat emel yang digunakan.
  4. Klik “Daftar” dan semak emel bagi tujuan pengesahan.

CARA PERMOHONAN SPRN TEDUH

Untuk makluman, semua permohonan SPRN TEDUH hendaklah dibuat secara online. KPKT telah memaklumkan bahawa sebarang permohonan secara manual tidak akan diterima.  Proses permohonan adalah seperti berikut:

  1. Daftar akaun SPRN
  2. Log masuk SPRN
  3. Pilih skim mengikut kelayakan
  4. Lengkapkan maklumat pemohon
  5. Pilih projek
  6. Muat naik dokumen sokongan
  7. Pengesahan ( Hantar Pemohonan)

SOALAN LAZIM (FAQ) SPRN TEDUH

Apakah fungsi TEDUH?

  • Fungsi laman web TEDUH adalah saluran portal utama yang memaparkan maklumat tentang projek-projek dan program-program perumahan awam dam swasta di Malaysia.

Apakah skim perumahan yang ditawarkan SPRN?

  • Antaranya skim MyHome, PPR (dimiliki & disewa), Rumah Transit dan skim SPP.

Berapakah jumlah kadar sewa rumah PPR?

  • RM124 sebulan.

Berapa kadar sewaan rumah transit?

  • RM250 sebulan.

Berapakah had pinjaman skim SPP?

  • RM60,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.

MAKLUMAT LANJUT

Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca di portal https://teduh.kpkt.gov.my

Ketahui juga tentang CARA PERMOHONAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM MALAYSIA